14 May 2011

Norshahrul Tekad Hampakan Red Giants

Norshahrul Idlan Talaha

Mahu benam skuad Devan pada separuh akhir pertama Piala FA malam ini
TANDUKAN Norshahrul Idlan Talaha yang menyumbang gol tunggal kemenangan Kelantan ke atas Selangor 1-0 dalam perlawanan pusingan kedua Liga Super di Kota Bharu baru-baru ini, masih segar dalam ingatan penyerang lincah The Red Warriors itu.
Menjelang pertemuan dengan pasukan yang sama pada pentas separuh akhir Piala FA di Stadium Shah Alam malam ini, Norshahrul bertekad mengulangi aksi sama untuk menghampakan Red Giants pimpinan K Devan.
Dengan 11 gol dalam Liga Super setakat ini, penyerang muda itu menaruh keyakinan Kelantan mampu mengulangi rentak kemenangan ke atas Selangor, apatah lagi rekod dua perlawanan sebelum ini memihak Kelantan.
Namun Norshahrul tetap berwaspada dengan lawan yang dibarisi pemain berpengalaman dan muda, selain status sebagai pendahulu Liga Super ketika ini.
“Secara peribadi, saya rasa tiada masalah memandangkan rekod Kelantan yang menewaskan dua kali pasukan lawan tetapi saya akui, selepas kemenangan di Kota Bharu itu, saya mengalami tempoh kemarau dan berazam menamatkannya malam esok (malam ini) walaupun beraksi di gelanggang lawan,” katanya, semalam.

Katanya, kejayaan dalam saingan liga turut menyuntik motivasi semua pemain The Red Warriors dan mereka cukup bersedia untuk mencari bekalan selesa menjelang pertemuan separuh akhir kedua di tempat sendiri.
“Sudah tentu kami bertandang ke Shah Alam dengan misi mencari kemenangan atau kelebihan gol sebagai bekalan untuk saingan separuh akhir kedua di Kota Bharu, Isnin depan,” katanya yang sekali lagi mengharapkan sokongan padu peminat negeri itu dalam pertembungan dua gergasi bola sepak tempatan.

No comments:

Post a Comment