01 March 2011

Kelantan Enggan Cicir Mata


S Chanturu bersedia diturunkan malam ini
selepas pulih daripada kecederaan ketika
menentang Kedah tempohari

KOTA BHARU – Pertembungan dua finalis Piala Malaysia musim lalu, Kelantan menentang Negeri Sembilan dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini dijangka menjadi medan perhitungan dua jurulatih berpengalaman yang penuh dengan tipu muslihat dalam corak taktikal masing-masing.
Bagi Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan, kejayaan mengatasi Sabah 1-0 di Paroi tempoh hari disambut dengan perasaan gembira selepas diberi kata dua Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Mohammad Hassan ekoran prestasi merudum pasukan bimbingannya selepas mengharungi empat perlawanan.
Namun bagi pengendali Kelantan, Datuk M Karathu, keputusan seri 1-1 dengan Kedah di Alor Setar ternyata tidak menggembirakannya sebaliknya beliau mahu pertemuan menentang Negeri Sembilan malam ini menjadi medan kebangkitan anak buahnya daripada terus dihimpit kecelaruan mendapat mata penuh.
Rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam perlawanan Liga Super musim lalu berpihak kepada Kelantan yang menang 3-1 di Paroi dan 1-0 di Kota Bharu manakala dalam aksi saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia, kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Paroi sebelum Kelantan tewas 0-1 di Kota Bharu.
Karathu berkata, setiap keputusan perlawanan di Kota Bharu amat penting dan beliau tidak mahu Kelantan terus tercicir mata pada perlawanan pusingan pertama liga.