03 March 2011

Kelantan Dalam Kelas Tersendiri



KELANTAN berada pada kelas tersendiri apabila membenam cabaran Negeri Sembilan 3-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam kelmarin.
Apa yang nyata, ia adalah suatu yang cukup sempurna untuk diraikan seluruh kem Kelantan ketika pencabar utama, Perak hanya sekadar berkongsi mata selepas mencatat keputusan seri dengan Harimau Muda A sekali gus membolehkan The Red Warriors mendahului kedudukan liga dengan kelebihan dua mata.

Kelantan Bangga Tumbangkan Negeri Sembilan

Norshahrul IdlanTalaha antara
 penjaring gol Kelantan ketika menang
 selesa 3-0 ke atas Negeri Sembilan
 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan
 Muhammasd IV, Kota Bharu, kelmarin.

KOTA BHARU – Kejayaan Red Warriors menumbangkan pasukan yang dibarisi pemain bertaraf bintang, Negeri Sembilan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV kelmarin, menggembirakan ketua jurulatihnya, Datuk M. Karathu.
Karathu memuji barisan pemainnya yang telah mempamerkan kebangkitan dan menunjukkan disiplin tinggi, terutama barisan pertahanan sehingga berjaya mematahkan setiap serangan lawan.
Menurutnya, Kelantan kini mempunyai sasaran lebih jelas, iaitu mahu terus mencipta kemenangan untuk kekal selesa di puncak liga.
“Kita dapat lihat pemain berjaya melakukannya pada perlawanan malam tadi (kelmarin).
“Sasaran kami untuk meningkat pada setiap perlawanan dan menjadi pasukan yang sangat kompetitif. Biarpun pasukan Negeri Sembilan mempunyai ramai pemain berkaliber namun, kita berjaya melakukannya dengan baik.
“Pujian juga harus diberikan kepada kesemua pemain terutama di bahagian pertahanan yang cukup disiplin. Mereka bekerja dan terus bekerja selain bantuan yang diberikan oleh pemain lain dalam mengekang asakan pasukan lawan,” katanya ketika dihubungi, semalam.