14 May 2011

FAM Perlu Ambil Tindakan Tegas

BENDERA Kelantan (dalam bulatan) dibakar penyokong Negeri Sembilan 
i Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi kelmarin.

KELAB Penyokong Siber Bola Kelantan (Kelate.Net) mendesak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya mengambil tindakan tegas terhadap penyokong bola sepak Negeri Sembilan berhubung insiden membakar bendera Kelantan ketika perlawanan Liga Super di antara kedua-dua pasukan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi kelmarin.

Timbalan Presidennya, Mahizi Mahmood berkata, tindakan tersebut dilihat cuba menghina pasukan Kelantan dan ia bertentangan dengan semangat kesukanan.
Menurutnya, tindakan tersebut dilihat boleh mencemarkan imej penyokong negeri itu biarpun dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Tambahnya, sewajarnya penyokong bola sepak Negeri Sembilan lebih rasional dan tidak terikut-ikut dengan perasaan sehingga boleh mencetuskan ketegangan di antara kedua-dua pihak.
“Saya berharap FAM menilai perkara ini secara mendalam kerana ia melibatkan maruah pasukan yang bertanding dan bertentangan dengan prinsip-prinsip bola sepak.
“Siasatan lanjut perlu dilakukan dan sekiranya ia satu kesalahan maka tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” katanya di Kota Bharu semalam.
Mahizi memberitahu, tindakan penyokong tersebut juga merupakan satu provokasi yang mungkin akan dibalas kembali oleh penyokong Kelantan ketika mereka beraksi di Stadium Sultan Muhammed IV nanti.
Bagaimanapun beliau meluahkan keyakinan bahawa penyokong setia The Red Warriors supaya tidak melatah dengan provokasi ini dan mengekalkan semangat kesukanan serta tidak melakukan perkara yang sama.
“Saya yakin dan percaya penyokong Kelantan sudah matang dalam isu provokasi ini. Apa yang penting tahun ini kita mahu menjadi kelab penyokong terbaik untuk musim ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment