14 May 2011

Karathu Yakin Mampu Bangkit


KOTA BHARU – Ketumpulan jentera serangan memanfaatkan peluang terhidang akhirnya membawa padah apabila Kelantan terpaksa melepaskan gelaran peneraju takhta liga kepada Selangor, malam kelmarin.

Kelantan terpaksa berpuas hati mengutip satu mata setelah sekadar seri tanpa jaringan dengan Negeri Sembilan dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam semalam.
Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengakui kurang berpuas hati dengan keputusan seri itu tatkala penampilan anak buahnya dilihat lebih garang menguasai permainan pada babak pertama.
“Sudah pasti saya tidak gembira dengan keputusan seri ini. Hakikat yang jelas kita menguasai perlawanan pada separuh masa pertama dengan mempunyai banyak peluang menjaringkan gol namun barisan pemain kita gagal merealisasikannya.
“Negeri Sembilan pula mempamerkan aksi tersendiri bangkit menguasai babak kedua. Seharusnya kita meraikan kemenangan apabila menjaringkan gol pada masa tambahan. Saya rasa pemain saya tidak berada dalam kedudukan ofsaid ketika itu. Muhammad Khalid (Jamlus) telah meletakkan bola di pintu gol lawan, namun kemenangan kita dinafikan.
“Kita kehilangan mata penting dalam perlawanan ini. Kita sebenarnya mahukan kemenangan bagi menyuntik semangat pemain bagi menghadapi Selangor dalam separuh akhir Piala FA namun itu tidak berlaku. Kita ada masa dua hari untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Selangor dan saya positif kita mampu bangkit,” katanya.
Begitu pun, Karathu cukup positif The Red Warriors masih mampu mengapai kejuaraan Liga Super buat pertama kali dengan syarat perlu memenangi kesemua baki tujuh perlawanan selepas ini.
Sementara itu pengendali Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah gembira kerana berjaya mengutip satu mata dalam perlawanan itu sekalipun ramai pemainnya dilanda masalah kecederaan yang berpanjangan.

No comments:

Post a Comment