15 May 2011

KAFA Hantar Surat Bantahan


KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengambil langkah menghantar surat bantahan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berikutan insiden bakar bendera ketika perlawanan Liga Super Kelantan menentang Negeri Sembilan minggu lalu.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, perlakuan membakar bendera negeri oleh mana-mana penyokong tidak boleh dibiarkan.
“Kenyataan yang dibuat Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mendakwa insiden itu berpunca daripada provokasi penyokong Kelantan adalah kurang tepat.
“Ini kerana, saya melihat sendiri kejadian bakar bendera itu berlaku di luar kawasan tempat duduk penyokong kedua-dua pasukan dan ia dibakar selepas perlawanan,” katanya kepada pemberita di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Padang Kala, Melor, di sini, semalam.
Berikutan masalah berkenaan, beliau berkata, surat bantahan rasmi akan dihantar kepada pengurusan FAM berhubung perkara terbabit untuk tindakan lanjut.
Annuar yang juga Timbalan Presiden FAM berkata, bagi penjelasan mengenai isu itu, beliau menghubungi Mohamad dan berbincang mengenainya.
“Insiden seperti ini tidak boleh sama sekali diterima kerana bendera adalah satu penghormatan sesebuah negeri, jadi tindakan wajar perlu diambil bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.
Dalam pada itu, Annuar turut mengumumkan penganjuran perlawanan persahabatan antara Harimau Muda dengan pasukan Myanmar akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV 18 Jun ini.

No comments:

Post a Comment