21 March 2011

Usah Leka Saat Akhir Elak Padah


Penjaring utama Kelantan, Mohd Aris Zaidi yang terpaksa
berehat hampir dua bulan kerana mengalami patah
tulang bahu ketika pertemuan dengan Pulau Pinang baru-baru ini.

KOTA BHARU – Jangan ulangi kesilapan lalu. Mungkin itu ungkapan yang tepat untuk skuad Piala Presiden Kelantan yang akan turun berhadapan T-Team dalam aksi Liga Piala Presiden di Padang C, Kompleks Sukan Negeri (KSN), Gong Badak, petang ini.

Penolong Pengurus Pasukan, Mohd Yusri Ismail berkata, kelekaan pada saat-saat akhir ketika pertemuan menentang Perak minggu lalu yang menyaksikan tiga mata dalam genggaman Kelantan terlepas begitu sahaja perlu dijadikan iktibar oleh pemainnya.
“Saya tidak mahu nasib sama menimpa dalam pertemuan menentang T-Team petang esok (ini), kita datang ke sini dengan misi mencipta kemenangan dan saya mahu pemain merealisasikan hasrat tersebut dengan membawa pulang tiga mata ke Kota Bharu,” katanya sebelum berlepas ke Kuala Terengganu, petang semalam.
Menurutnya, tiada alasan untuk pasukannya itu tidak mencipta kemenangan sekalipun beraksi di gelanggang lawan.
“Malah kita telah membuktikan dengan mengalahkan Pulau Pinang baru-baru ini biarpun bermain di tempat mereka.
“Jadi saya mahu pemain saya meneruskan momentum tersebut,” katanya.
Mohd Yusri berkata, dari segi persiapan pasukan, pasukan Kelantan tidak berdepan sebarang masalah kerana semua pemain bebas daripada penggantungan perlawanan dan masalah kecederaan.
“Kita hanya kehilangan Mohd Aris (Zaidi) yang terpaksa berehat hampir dua bulan kerana mengalami patah tulang bahu ketika pertemuan dengan Pulau Pinang baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata, sekalipun ketiadaan Mohd Aris Zaidi begitu dirasakan, beliau percaya kemasukan empat pemain baru didaftarkan bersama skuad ini mampu mengimbangi kekuatan pasukan pada keseluruhannya.
“Pemain baru, Muhammad Akid Ramli dijangka diberi peranan sebagai penyerang menggantikan tempat Mohd Aris (Zaidi) dan dia bakal berpasangan dengan Mohd Farhan Yaakub bagi merobek pintu gol pasukan tuan rumah.
“Pada masa sama, saya menagih pengalaman tiga pemain yang pernah menjalani latihan bersama skuad Liga Super iaitu Nicholas Chan (Meng Jin), Mohd Zamri (Ramli) dan Khairul Izuan (Rosli) untuk mempamerkan persembahan terbaik dalam perlawanan ini.
“Saya percaya, pengalaman yang dimiliki ketiga-tiga pemain itu mampu menyuntik semangat kepada rakan sepasukan yang lain,” katanya.
Sementara itu, menurutnya, pemain tengah, Mohd Izuan (Salahuddin) yang kini berada di kemuncak prestasi juga ditagih untuk membuktikan sentuhannya pada perlawanan tersebut.

No comments:

Post a Comment