21 March 2011

Kekuatan Mental Faktor Kejayaan


Pemain sayap Kelantan, Solehin Kanasian Abdullah terkepung dengan asakan tiga pemain
KL Felda United Fc dalam perlawanan malam kelmarin.

KOTA BHARU – “Saya puas”. Begitulah ungkapan pertama yang dizahirkan Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu sesudah melihat kebangkitan luar biasa anak buahnya menyingkiran KL Felda United FC menerusi kemenangan 3-0 dalam aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, malam kelmarin.

Karathu berkata, pujian harus diberikan kepada pemain The Red Warriors yang mempamerkan tahap disiplin yang baik serta memiliki karisma tersendiri untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan tersebut.
“Mereka mempunyai semangat juang yang tinggi dan kekuatan mental para pemain antara faktor mengapa kita berhak keluar sebagai pemenang dalam perlawanan ini. Sekalipun terpaksa bermain dibawah tekanan selepas seri 2-2 dalam perlawanan pertama, namun mereka tidak menghiraukan tekanan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.
“Sebaik sahaja wisel perlawanan dibunyikan, kita terus melancarkan serangan ke pintu gol pasukan lawan dan saya berani katakana kita sebenarnya menguasai hampir keseluruhan tempoh 90 minit perlawanan ini.
“Gol pertama menerusi jaringan S Chanturu pada awal babak separuh masa pertama sememangnya dinanti-nantikan setelah kita sebenarnya begitu terdesak untuk untuk memperolehi gol awal bagi memberi tekanan kepada pasukan lawan.
Datuk M Karathu
Menurut Karathu, selepas Kelantan berjaya menjaringkan gol kedua pada pertengahan babak kedua, para pemainnya mula memperlahankan rentak perlawanan bagi mengugat tumpuan pasukan lawan dan ianya berhasil apabila mereka dilihat gagal mencipta gerakan merbahaya untuk menembusi benteng pertahanan Kelantan.
Sementara itu, ketika ditanya lawan yang akan dihadapi pada peringkat separuh akhir, Karathu berkata, beliau tidak kisah sekiranya bertemu dengan Selangor pada separuh akhir kerana Kelantan sememangnya cukup bersedia bertemu dengan mana-mana pasukan yang kuat.
“Saya tidak ada sebarang masalah sekiranya kita terpaksa menentang Selangor pada peringkat separuh akhir kerana kita mempunyai rekod yang baik ke atas mereka dan pernah menumpaskan mereka pada awal musim ini.
”Walaupun kita akan bermain di gelanggang lawan pada perlawanan pertama pusingan separuh akhir nanti, ia tidak memberi sebarang kesan kerana saya masih mempunyai masa untuk membuat persiapan serta memperbaiki kelemahan pasukan,” katanya.
Kelantan layak ke peringkat separuh akhir setelah menang menerusi agregat 5-2 ke atas KL Felda United FC dan akan membuat perhitungan mutlak dengan musuh tradisinya, Selangor dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA pada 13 Mei depan di Stadium Shah Alam.
Sementara tiga hari kemudian, aksi timbal balik pula akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.

No comments:

Post a Comment