02 May 2011

Sengit Sebelum Menang


Norshahrul Idlan sempat melepaskan rembatan biarpun cuba dicabar
Ahmad Dashila dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur, malam semalam.


KOTA BHARU – Setelah Gergasi Lembah Klang, Selangor tumbang minggu lalu, malam semalam menyaksikan giliran Kuala Lumpur pula menerima nasib yang sama setelah tewas 2-0 dalam aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Namun kemenangan tersebut tidak mudah dicapai malah Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu sendiri turut mengakui pasukan Kuala Lumpur yang dibarisi pemain muda sememangnya memberikan tentang sengit kepada anak buahnya sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.
“Saya sudah menjangkakan kita bakal diberi tentangan sengit dan ianya terbukti apabila kita hanya berjaya menjaringkan gol kedua pada penghujung babak perlawanan. Mereka menyusun gerakan secara teratur malahan benteng pertahanan mereka juga cukup bagus,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.
“Kita menghadapi kesukaran untuk memecahkan benteng pertahanan mereka. Bukan itu sahaja, apabila kita menjaringkan gol pertama dan melancarkan serangan tetapi pada masa sama juga pemain mereka juga masih mampu menyerang ke pintu gol Kelantan.
“Saya fikir sekiranya kita dapat memanfaatkan salah satu daripada tiga peluang terbaik dalam separuh masa kedua, sudah pasti mereka menghadapi kesukaran untuk menyaingi kita. Namun itu tidak berlaku malah mereka tetap bersemangat sekalipun ketinggalan dua gol,” katanya.
Menurutnya, beliau mengakui kesukaran anak buahnya untuk menjaringkan gol dalam perlawanan itu sambil melihat kegagalan jentera serangan memanfaatkan beberapa peluang terhidang terutamanya pada separuh masa kedua menafikan hajat Kelantan untuk menang dengan jaringan yang besar dalam perlawanan itu.
“Penjaga gol mereka (Norazlan Razali) juga beraksi dengan baik dan menafikan sekurang-kurangnya tiga peluang yang dimiliki Kelantan. Kadang-kadang kita mempunyai banyak peluang tapi tak semuanya berakhir dengan jaringan.
“Walaubagaimanapun, saya berpuas hati dengan persembahan pemain saya dalam perlawanan ini. Yang penting kita mendapat tiga mata dan merampas kedudukan selaku peneraju takhta liga. Saya berharap rentak kecemerlangan ini diteruskan apabila kita bertemu Johor FC di Pasir Gudang pada Selasa ini,” katanya.
Ditanya mengenai percaturannya merehatkan dua tonggak utama iaitu Mohd Nurul Azwan Roya dan Mohd Farisham Ismail dalam perlawanan itu, Karathu mempunyai jawapan yang tersendiri disebalik tindakan mengejutnya itu.
“Kita terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat ketika ini. Saya rehatkan mereka berdua kerana mereka mengumpul dua kad kuning dan saya tidak mahu kehilangan khidmat mereka untuk menentang Johor FC nanti. Mohd Rizal Fahmi (Ab Rosid) pula saya turunkan setelah dia tidak beraksi dalam dua perlawanan lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment