23 April 2011

Singa Utara Kena Ratah

Penyerang Kelantan Norshahrul Idlan Talaha, menjaringkan 1 gol
dalam perlawanan menentang Perlis pada malam tadi.

KELANTAN 4
Mohd Izuan Salahuddin (m-40)
Norshahrul Idlan Talaha (m-51)
Mohd Nizab Ayub (m-69)
Muhd Badhri Radzi (m-73)
PERLIS 0

KOTA BHARU – Kelantan melonjak ke tangga kedua carta liga setelah mengalahkan Perlis 4-0 dalam aksi perlawanan bola sepak Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
Beraksi dihadapan hampir 15,000 penyokong setia The Red Warriors, anak buah Datuk M Karathu bangkit daripada persembahan hambar pada separuh masa pertama biarpun mendahului satu gol dengan menampilkan persembahan lebih bertenaga pada babak kedua dengan ledakan tiga gol menerusi jaringan pemain yang berbeza.
Seawal minit keenam, penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha mempunyai peluang terbaik untuk meletakkan The Red Warriors didepan namun rembatan kencangnya didalam kotak penalti sedikit melewati pintu gol Perlis.
Pasukan Perlis yang masih belum pulih daripada kekalahan besar di Kangar tempohari mempunyai peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada m-24 menerusi rembatan kencang Muhammad Alif Aswat namun tersasar disebelah kanan pintu gol.
Selang seminit kemudian, giliran pemain pertahanan pasukan pelawat, Mohd Hafiszuan Salehuddin pula menguji kehebatan Khairul Fahmi Che Mat namun rembatannya tersasar disebelah kiri pintu gol Kelantan.
Pada m-26, Kelantan hampir memecahkan kebuntuan apabila Norshahrul Idlan yang menerima umpanan daripada Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi, bijak melepasi pemain pertahanan Perlis namun rembatannya pula diselamatkan penjaga gol Perlis, Mohd Amirul Rosli.
Pada m-36, Muhd Badhri turut mensia-siakan peluang terbaiknya apabila menyepak liar didalam kotak penalti pasukan Perlis. Seminit kemudian, anak buah Datuk M Karathu sekali lagi gagal menggembirakan penyokong setianya apabila lorongan cantik Mohd Shakir Shaari kepada Solehin Kannasian Abdullah berkesudahan dengan rembatannya sekadar melintasi pintu gol pasukan pelawat.
Begitu pun, pada m-40, penyerang muda, Mohd Izuan Salahuddin kembali menceriakan penyokong setia Kelantan apabila sepakannya dari luar kotak penalti tepat menerjah jaring sebelah kiri pintu gol Perlis untuk gol pertama Kelantan.
Pada m-51, penjaring gol terbanyak liga setakat ini, Norshahrul Idlan terus melebarkan kedudukan untuk Kelantan apabila berjaya menjaringkan gol kedua. Hantaran lintang Mohd Daudsu Jamaluddin mudah ditampan kemas sebelum sepakan kencangnya menewaskan Mohd Amirul digawang gol Perlis buat kali kedua.
Pada m-61, Solehin Kanasian yang menerima umpanan Danial Fadzly Abdullah gagal mengukuhkan kedudukan untuk Kelantan apabila rembatannya hanya tersasar beberapa meter daripada pintu gol Perlis biarpun Mohd Amirul sudah pun tertewas dalam situasi tersebut.
Lima minit kemudian, giliran Danial Fadzly pula mencemaskan pintu gol Perlis apabila percubaan jarak jauhnya memaksa Mohd Amirul menepis rembatan tersebut yang menyaksikan bola terkena palang selepas itu.
Pada m-69, Mohd Nizab Ayub menggembirakan penyokong setia Merah Putih apabila menjaringkan gol ketiga Kelantan. Baru dua minit dimasukkan, Mohd Nizab bijak memanfaatkan ‘dummy’ yang dilakukan Danial Fadzly dengan merembat kencang didalam kotak penalti untuk menewaskan Mohd Amirul kali ketiga.
Pada m-73, pintu gol Perlis sekali lagi dibolosi kali ini menerusi jaringan Muhd Badhri. Berpunca daripada hantaran lintang Mohd Daudsu, Muhd Badhri bijak meloloskan diri daripada situasi kelam-kabut didalam kotak penalti dengan merembat dekat untuk menghasilkan gol keempat Kelantan dalam perlawanan malam tadi.
Ketinggalan empat gol, jelas pemain pasukan Perlis semakin tertekan malah tidak banyak percubaan merbahaya dilakukan oleh anak buah Mohd Salim Tofel Mohamad pada separuh masa kedua. Satu-satunya peluang terbaik mereka hadir pada m-78 menerusi sepakan percuma jarak 30 meter oleh Mohd Faiz Subri yang menyaksikan bola terkena palang gol Kelantan.
Kelantan seharusnya kembali ‘berpesta gol’ di Kota Bharu kalau tidak kerana kuisan Mohd Nizab pada m-83 terkena palang sementara rembatan pemain gantian, Muhammad Khalid Jamlus seminit selepas itu sedikit melewati palang.
Malah, gol jaringan Mohd Nizab pada m-87 turut dibatal oleh pengadil setelah dikesan berada didalam kedudukan ofsaid sementara sepakan lambung Muhd Badhri seminit selepas itu sedikit melewati pintu gol pasukan Perlis.
Gerakan menarik diantara Muhammad Khalid dan Danial Fadzly didalam kotak penalti pada minit-minit akhir perlawanan yang menyaksikan rembatan Danial Fadzly terkena tiang gol sebelah kanan pintu gol Perlis menutup tirai kemenangan berharga Kelantan dalam perlawanan malam tadi.
Kesebelasan utama pemain :
KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin, S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, Solehin Kanasian Abdullah (Mohd Nizab Ayub), Mohd Izuan Salahuddin, Muhammad Ramzul Zahini Adenan (Danial Fadzly Abdullah) dan Norshahrul Idlan Talaha (Muhammad Khalid Jamlus).
FORMASI : 4-4-2
PERLIS : Mohd Amirul Rosli, Mohd Sany Mat Isa, Mohd Hisyam Mohd Shofi, Mohd Hafiszuan Salehuddin, Mohd Rozaidi Abd Rahim (KP), Mohd Fazly Baharum (Mohd Rizal Ghazali), Mohd Faiz Subri, Muhammad Alif Aswat Baharin, Hadi Syahmi Hamzah, Syed Mohd Abd Ghafar Syed Amir (Mohd Hazwan Zainun ) dan Tengku Mohd Adam Tengku Rosly.
FORMASI : 4-4-2
STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Kelantan (7) Perlis (2)
Percubaan tersasar : Kelantan (7) Perlis (5)
Sepakan sudut : Kelantan (10) Perlis (2)
Sepakan percuma : Kelantan (16)  Perlis (17)
Offsaid : Kelantan (2) Perlis (4)
Kekasaran : Kelantan (15) Perlis (12)
Kad kuning : Perlis (Mohd Faiz Subri)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Empat minit
Penguasaan bola : Kelantan (55%) Perlis (45%)
PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Ramli Mat Dahan
Penolong Pengadil 1: Nejoy Naking
Penolong Pengadil 2: Khalid Mohd Nor
Pegawai Keempat : Mohd Ezani Mohd Said
Kommisioner Perlawanan : Abdullah Md Derus
General Kordinator : Arif Hassan

No comments:

Post a Comment