17 April 2011

Misi Balas Dendam

Mohd Azyu Ikmal Che Mat Nor (tengah) sediakan diturunkan dalam
pertemuan menentang Sabah di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang ini.
KOTA BHARU – Perit dengan kekalahan 0-3 pada perlawanan pusingan pertama, Skuad Piala Presiden Kelantan berazam mahu membalas dendam dengan mencipta kemenangan ke atas pendahulu liga, Sabah apabila kedua-dua pasukan turun beraksi dalam perlawanan Liga Piala Presiden di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang ini.

Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail berkata, kekalahan pada perlawanan pusingan pertama di Kota Kinabalu dua bulan lalu masih segar dalam ingatannya dan beliau mahu pemain Kelantan memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri dengan mencipta kemenangan pada perlawanan petang ini.
“Kita turun dengan dua misi berbeza, pertama mahu menebus kekalahan pada perlawanan pertama dan kedua untuk terus memberi tekanan kepada pasukan Sabah yang kini dilihat begitu gah menerajui takhta liga kumpulan A ketika ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
“Sekalipun kita kehilangan khidmat Ketua Pasukan, Nik Mohd Shahrul Azim (Ab Halim) dan Mohd Zamri (Ramli) yang menjalani penggantungan perlawanan, namun skuad kita tidak tempang berhadapan dengan pasukan Sabah. Tiada kegusaran tentang ketiadaan dua tonggak itu, kerana kita mempunyai ramai pemain yang bersedia diturunkan untuk mengisi kekosongan tersebut.
“Mohd Azyu Ikmal (Che Mat Nor) dan Faizol Nazlin (Sayuti) dilihat dua pemain yang mampu mengisi kekosongan itu. Malah, prestasi pemain seperti Khairul Izuan (Rosli) dan Nicholas Chan (Meng-Jin) yang mempamerkan peningkatan juga sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada saya. Saya fikir jentera tengah kita akan berfungsi dengan baik dalam perlawanan ini ,” katanya.
Menurutnya, dengan lilitan lengan Ketua Pasukan sudah pasti bertukar tangan dengan Tuan Mohd Norhafizie Tuan Mahmood bakal diberi tanggungjawab menggalas tugas tersebut, beliau tetap mahu memastikan pemain The President Warriors menampilkan aksi terbaik dihadapan penyokong sendiri pada perlawanan ini.
“Moral semua pemain cukup baik dan mereka begitu bersemangat menghadapi perlawanan ini. Status sama ada khidmat Mohd Izuan (Salahuddin) yang dipinjamkan kepada skuad Liga Super Kelantan dapat digunakan atau tidak belum dipastikan lagi. Apapun saya tidak menganggap ketiadaan Mohd Izuan menjadi satu masalah besar bagi saya dalam merencana strategi pasukan apabila berhadapan dengan Sabah,” katanya.
“Namun pada masa yang sama, saya tetap mengingatkan kepada semua pemain supaya berwaspada dengan jentera serangan pasukan Sabah. Apa yang saya lihat, penyerang mereka lebih konsisten kerana sentiasa menjaringkan gol dalam setiap perlawanan. Itu yang menggusarkan saya. Benteng pertahanan kita tidak harus leka dan perlu menutup ruang sebaik mungkin daripada membenarkan penyerang lawan melakukan percubaan ke pintu gol kita,” katanya.

No comments:

Post a Comment