17 March 2011

Peluang Kelantan Masih Terbuka


Penyerang prolifik kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha
meraikan gol dengan menari dalam perlawanan malam kelmarin.

KOTA BHARU – Meskipun Kelantan sekadar mencatatkan keputusan seri 2-2 dengan KL Felda United FC dalam pertemuan pertemuan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam semalam, namun peluang masih terbuka bagi bekas naib juara edisi 2009 itu melangkah ke saingan separuh akhir.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengakui kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang seimbang dalam perlawanan suku akhir kedua untuk mengisi salah satu slot separuh akhir nanti.
“Saya tetap berpuas hati walaupun kita mencatatkan keputusan seri dalam perlawanan tersebut. Walaupun kita ketinggalan pada suatu ketika namun pemain kita jelas tidak hilang punca sebaliknya kembali bangkit merapatkan jurang dan mendahului Felda United FC dalam separuh masa kedua,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
“Pemain kita mempunyai semangat juang yang cukup tinggi. Biarpun berhadapan pasukan seperti Felda United FC yang menghimpunkan ramai pemain berpengalaman, mereka tidak merendah diri sebaliknya menghimpunkan kekuatan luar biasa dan saya mahu aksi seperti ini diteruskan pada perlawanan Sabtu ini.
“Pemain kita tidak mudah terikut-ikut dengan rentak pasukan lawan. Kita boleh lihat pasukan lawan sentiasa melengah-lengahkan perlawanan. Itu taktikal mereka bila berhadapan dengan kita tetapi pemain kita mempunyai mental yang kuat menangani karenah pemain lawan,” katanya.
Menurut Karathu, pasukan Kelantan seharusnya tidak perlu bekerja lebih keras pada perlawanan timbal balik pada Sabtu ini seandainya pemainnya tidak mensia-siakan banyak peluang terhidang dalam perlawanan tersebut.
“Kita mempunyai banyak peluang tetapi gagal disempurnakan oleh jentera hadapan. Muhd Badhri (Radzi), Norshahrul (Idlan Talaha) dan Muhammad Khalid (Jamlus) mempunyai banyak peluang tetapi tidak memanfaatkan peluang tersebut.
“Inilah bola sepak. Kadang-kadang kita dapat lima peluang tetapi hanya mampu menjaringkan dua gol sahaja. Kita mempunyai peluang keemasan pada masa kecederaan menerusi Norshahrul (Idlan) yang berhadapan satu sama satu dengan penjaga gol lawan namun disia-siakan.
“Kita akan buat analisa mengenai perlawanan malam semalam. Kita lihat apa kelemahan yang menghantui pasukan. Kita masih ada masa tiga hari memperbetulkan keadaan dan saya percaya Kelantan tetap berpeluang meskipun Felda United FC memiliki kelebihan jaringan ditempat lawan,” katanya.
Pada perlawanan itu, Kelantan yang beraksi di hadapan lebih 25,000 penyokong setia mereka gagal menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri selepas diikat Felda United FC dengan keputusan 2-2.
Pasukan pelawat terlebih dulu mengejutkan Kelantan pada minit ke-31 hasil tandukan Muhammad Zamri Chin sebelum Ketua Pasukan tuan rumah, Muhd Badri Radzi menyamakan kedudukan seminit sebelum babak pertama berakhir.
Pada m-70 penyerang terbilang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha mengamatkan suasana stadium apabila menjaringkan gol kedua Kelantan sebelum Liew Kit Kong melenyapkan hasrat Kelantan untuk membawa bekalan satu jaringan pada perlawanan suku akhir kedua menerusi sepakan penaltinya di minit-minit akhir perlawanan.

No comments:

Post a Comment